Sunday 30 December 2012

Bangkitlah wahai Harimau!


SEDIH, marah dan kecewa jelas terpancar di wajah penyokong setia Harimau Malaya apabila melihat Malaysia gagal mempertahan kejuaraan Piala AFF dan ia sekali gus menutup tahun 2012 dengan cerita duka buat skuad bola sepak kebangsaan.
Kegagalan skuad bimbingan Datuk K Rajagobal itu apabila tersungkur pada separuh akhir kepada Thailand dengan agregat 3-1, sukar diterima peminat bola sepak tempatan. Menambah kepahitan skuad bola sepak negara ialah kegagalan pasukan Olimpik untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam pusingan akhir kelayakan Kumpulan C apabila tewas dalam keenam-enam perlawanan. Selepas disajikan dengan kebangkitan persembahan Harimau Malaya sejak 2009, peminat tidak boleh menerima alasan jika skuad Harimau Malaya tidak dapat mengecap kejayaan di peringkat antarabangsa sedangkan Malaysia mempunyai kemudahan sukan bertaraf dunia dan terbaik di rantau ini. Lumrah manusia, pastinya ada yang bersikap demikian, namun jauh di sudut hati peminat, semangat mereka tidak pernah luntur selepas melihat kebangkitan Harimau Malaya dalam arena bola sepak antarabangsa. Semua orang tahu, bola sepak ialah sukan nombor satu Malaysia dan rakyat amat menanti-nantikan sebarang perkembangan mengenai sukan itu.

Harapan peminat cukup tinggi dan rakyat menaruh keyakinan pada skuad Harimau Malaya untuk memulihkan maruah sukan nombor satu negara itu. Sebab itu dapat dilihat semakin ramai anak muda berasa bangga menyarung jersi Malaysia berwarna kuning hitam atau merah biru dan putih selain ribuan penyokong membanjiri stadium setiap kali Harimau Malaya turun bertarung. Maka, adalah tidak adil kepada penyokong setia Harimau Malaya jika kesetiaan mereka dibalas dengan kegagalan demi kegagalan. Jika diimbas kembali kebangkitan bola sepak Malaysia, 2009 mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air apabila pasukan Bawah 23 Tahun negara membuat kejutan menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas pada Sukan Sea Laos di Vientiene selepas menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir. Tahun berikutnya, giliran pasukan senior negara pula mencipta nama. Beraksi untuk kali kedua pada perlawanan akhir Piala AFF yang dulunya dikenali sebagai ‘Piala Tiger’, digunakan sebaik mungkin pasukan negara. Menentang musuh serumpun, Indonesia, skuad Harimau Malaya muncul juara buat pertama kalinya pada kejohanan berkenaan selepas menundukkan skuad Garuda dengan agregat 4-2.
Tahun 2011 mencatat kenangan paling manis buat peminat bola sepak tanah air. Pasukan B-23 negara berjaya mengutip pingat emas walaupun dalam keadaan yang tidak tenteram di bumi Jakarta. Namun, tahun 2012 menyaksikan mutu persembahan Harimau Malaya merosot dan ketumpulan taring skuad kebangsaan itu dapat dilihat dalam beberapa perlawanan persahabatan apabila tidak bermaya menundukkan Hong Kong (14 November) dan Bangladesh (20 November) semasa beraksi di tempat sendiri apabila sekadar seri 1-1. Malah, sebelum itu ditundukkan oleh Vietnam dalam kedua-dua perlawanan di Stadium Shah Alam apabila kalah 2-0 pada 11 September dan 1-0 di Hanoi (3 November) selain kalah 0-2 kepada Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada 7 November. Ranking Malaysia yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menunjukkan tiada sebarang peningkatan membanggakan dengan kedudukan terbaru pada 19 Disember lalu ialah sekadar berada di tempat ke-158 dunia. Sebagai perbandingan ranking Malaysia sepanjang 2012 bermula pada Januari ialah 148, 150 (Februari), 152 (Mac), 156 (April), 153 (Mei), 154 (Jun), 157 (Julai dan Ogos), 156 (September), 162 (Oktober) dan 163 (November). Hanya tiga kemenangan dapat dicapai Harimau Malaya pada siri perlawanan persahabatan tahun ini iaitu ketika membelasah Sri Lanka 6-0 pada 28 April, menundukkan Singapura 2-0 (12 Jun) dan mengutip satu-satunya kejayaan di tempat lawan ketika menumpaskan Hong Kong 3-0 pada 16 Oktober. Sepatutnya, saban tahun, skuad negara perlu ada kayu pengukur menunjukkan peningkatan yang membanggakan dan bukan sebaliknya. Sudah sekian lama, peminat tempatan menantikan kebangkitan bola sepak negara. Cabaran dan tumpuan Malaysia selepas ini ialah membentuk sebuah pasukan mantap sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan, Pestabola Merdeka dan Sukan Sea Myanmar.

Tugas berat pasti menanti Rajagobal yang terus diberi kepercayaan membimbing skuad Harimau Malaya dan Ong Kim Swee dalam menyediakan pasukan Harimau Muda yang kental bagi menghadapi kejohanan-kejohanan itu. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30

No comments:

Post a Comment