KUNJUNGAN skuad negara ke Bangkok untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF, semalam tidak banyak bezanya bagi pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal ketika situasi kini seakan-akan tidak memihak kepada anak buahnya.
Seperti perlawanan separuh akhir pertama kelmarin yang berkesudahan seri 1-1, ketua jurulatih negara itu masih berdepan masalah kehilangan beberapa tonggak utama menjelang pertemuan timbal balik bertemu anak buah Winfried Schafer di Stadium Supachalasai.
Pemain seperti Wan Zack Haikal Wan Nor serta Mohd Shakir Shaari pada pendapat Rajagobal hampir pasti tidak dapat diturunkan.
Namun Rajagobal tetap tenang walaupun mengetahui lawannya mempunyai skuad terbaik untuk diturunkan pada Khamis ini selain kelebihan beraksi di halaman sendiri.
“Semua perlu faham, kami tidak mempunyai lima tonggak akibat kecederaan dan keputusan seri bagi saya sesuatu yang cukup baik dengan komitmen tinggi ditunjukkan setiap pemain.
“Kalau dibandingkan dengan Thailand, mereka dapat turunkan semua pemain utama. Kita perlu bersikap positif,” katanya.
Hasrat meraih bekalan selesa pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin lebur selepas Thailand berjaya mengikat kedudukan sekali gus perlawanan timbal balik Khamis ini dilihat lebih memihak kepada Thailand.
Tapi Rajagobal tidak panik, sebaliknya berkata, barisan pemainnya sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila bertemu anak buah Schafer sekali lagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10
No comments:
Post a Comment