Wednesday 19 December 2012

Bedah siasat prestasi Harimau


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultah Ahmad Shah semalam mengesahkan Datuk K Rajagobal akan terus kekal sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak negara.
Baginda bertitah, tiada sebarang rancangan menggantikan jawatan itu dengan individu lain dan buat masa ini, Rajagobal terus kekal sebagai pengendali, sekurang-kurangnya hingga kontrak beliau tamat pada Disember 2013. “Buat Rajagobal tiada apa-apa masalah, dia masih jurulatih Harimau Malaya,” titah baginda ketika ditanya pemberita pada Majlis Pengenalan Helikopter EC-725 di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kuantan, semalam.

Kelmarin, Arena Metro memetik sumber dalaman yang menyatakan Rajagobal terus diberi mandat membimbing skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari.
Skuad kendalian Rajagobal gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 apabila tunduk kepada Thailand 1-3 secara agregat pada peringkat separuh akhir sekali gus mendorong beberapa pihak menuntut agar jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menggantikannya.

Sultan Ahmad Shah juga berkata, prestasi skuad Harimau Malaysia akan dibincangkan dalam ‘bedah siasat’ yang akan diadakan tidak lama lagi dengan segala pertukaran atau penstrukturan semula akan dikaji bersama pegawai atasan skuad bola sepak itu.

“Mungkin akan ada ‘post mortem’ perlawanan kita menentang Thailand. Sebagai presiden, saya sudah menerima laporan penuh perlawanan Malaysia menentang Thailand dan segala keputusan yang dibuat selepas ini harus mengambil kira semua faktor dan pendapat semua pihak,” titahnya.
Ketika ditanya mengenai prestasi pemain, Sultan Pahang enggan memberi sebarang komen hingga bedah siasat itu dilakukan sepenuhnya.

“Saya tidak boleh sebut sama ada pemain lemah atau kurang stamina tapi saya akan pastikan pasukan kebangsaan dapat mempamerkan mutu permainan lebih baik pada masa depan.” Baginda akan ke Bangkok, esok untuk mesyuarat AFF dan menyaksikan perlawanan akhir antara Singapura dan Thailand sebelum menyerahkan piala kepada pemenang.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

No comments:

Post a Comment