Wednesday 19 December 2012

Rombak, tukar!


“ROMBAK pasukan dan pilih pemain yang benar-benar layak bermain dalam pasukan negara.” Itu gesaan bekas pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah kepada Datuk K Rajagobal yang terus mendapat kepercayaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad kebangsaan.
Menurut Namat, FAM sudah membuat keputusan dan kini terpulang kepada pengendali itu untuk membalas kepercayaan yang diberikan.

“Tiada apa yang boleh dilakukan kerana FAM sudah membuat keputusan untuk mengekalkan Rajagobal sebagai ketua jurulatih kebangsaan. Sebelum ini ramai orang mengkritik gaya permainan skuad kebangsaan yang tidak berubah.
“Jurulatih yang memberikan arahan kepada pemain dan kita boleh lihat skuad kebangsaan tidak boleh mengawal permainan seperti Thailand dan Singapura. Kita tidak boleh tendang bola sesuka hati, pemain kita bukannya memiliki stamina seperti pemain Eropah untuk mengejar bola sepanjang permainan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Selepas gagal dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012 apabila terkandas di peringkat separuh akhir kepada Thailand menerusi agregat 1-3, Rajagobal didesak peminat dan pemerhati bola sepak supaya meletakkan jawatan.

Namun Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah memutuskan Rajagobal yang memiliki kontrak hingga Disember 2013 kekal mengendalikan Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari tahun depan.
Namat, bekas pemain kesebelasan utama skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik di Munich 1972 berkata, Rajagobal perlu menyingkirkan pemain yang tidak mempamerkan prestasi baik sebelum ini dan membuka pintu kepada pemain yang menyerlah dalam Liga Malaysia.

“Masih ada lagi ramai pemain yang layak bermain dengan skuad kebangsaan, Rajagobal perlu rombak pasukan kalau mahu layak dalam kempen kelayakan itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

No comments:

Post a Comment