Wednesday 19 December 2012

Singa bawa 2 gol ke Thailand


SINGAPURA menghampiri kejuaraan keempat Piala AFF selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Thailand pada aksi final pertama di Stadium Jalan Besar, malam tadi.
Kelebihan dua gol itu cukup penting buat skuad Singa kendalian Radojko Avramovich sebelum membuat perhitungan terakhir dengan Thailand pada perlawanan akhir kedua di Stadium Supachalasai, Bangkok, Sabtu ini.

Bermain di atas padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar nampak menyukarkan juara tiga kali, Thailand terutama di awal permainan apabila skuad kendalian Winfried Schafer yang menyingkirkan juara bertahan, Malaysia di peringkat separuh akhir, terkial-kial mencari rentak.
Sebaliknya, Singapura yang mendapat sokongan padu 8,000 penyokong memulakan asakan menerusi tandukan penyerang veteran Aleksandar Duric, 42 namun melambung melepasi palang gol.

Pasukan tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-10 apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil, Masaaki Toma selepas Duric dijatuhkan pemain pertahanan Thailand.

Pemain naturalisasi Singapura, Fahrudin Mustafic tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol, Kawin Thamsatchanan meskipun Masaaki mengarahkannya mengambil sepakan penalti semula selepas sepakan pertama dibatalkan.
Thailand yang terkenal dengan panggilan skuad Gajah Perang cuba bangkit mencari gol penyamaan namun sepakan leret Anucha Kitpongsri dalam kotak penalti sekadar melintasi pintu gol Singapura pada minit ke-30.

Kedudukan berubah pada babak kedua apabila gerakan penyerang berbisa Teerasil Dangda dari sebelah kanan berjaya memperdayakan pertahanan Singapura, Baihakki Khaizan sebelum melorongkan bola kepada Adul Lahso yang tenang menyepak masuk menewaskan Izwan Mahbud di minit ke-59.
Skuad Singa kemudian kembali di depan pada minit ke-61 apabila penyerang lincah, Khairul Amri Mohamad bijak memperdayakan pertahanan lawan dengan memusingkan badan dan melepaskan rembatan kencang yang menggegar gawang pasukan pelawat.

Pemain pertahanan, Baihakki meletakkan Singapura dalam kedudukan selesa dengan gol ketiga pada lewat permainan dengan menolak masuk selepas situasi kelam kabut di depan pintu gol Thailand.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/20

No comments:

Post a Comment